INI CONTOH SURAT BERANTAI
Assalamualaikum.
Ini adalah surat wasiat dari penjaga makam Nabi Muhammad S.A.W. iaitu Sheikh Ahmad (Saudi Arabia)
Pada suatu malam ketika hamba membaca Al-Quran di makam Rasulullah S.A.W. selepas membaca lalu hamba tertidur dalam tidur hamba bermimpi di datangi Rasulullah S.A.W. lalu bersabda kepada hamba dalam 60,000 orang yang meninggal dunia di zaman ini tiada seorang pun matinya dalam keadaan yang beriman.
a) Isteri tidak mendengar suami
b) Orang kaya tidak lagi bertimbang rasa kepada orang miskin
c) Orang tidak lagi berzakat dan tidak membuat kebajikan.
Oleh itu wahai Sheikh Ahmad hendaklah kamu menyebarkan kepada orang Islam yakni supaya membuat kebajikan kerana hari penghabisan (Qiamat) akan tiba di masa bintang terbit dari langit. Sesudah itu pintu matahari akan turun di atas kepala.
Pesanan Hamba ini
a) BERSELAWATLAH kepada junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W.
b) BERTAUBATLAH Dengan segera sementara pintu taubat masih terbuka.
c) BERSEMBAHYANGLAH Kamu sebelum kamu disembahyangkan
d) BERZAKATLAH Jangan tinggalkan
e) JANGAN MENDERHAKA KEPADA KEDUA IBU BAPA Hormatilah mereka.
f) MENUNAIKAN FARDU HAJI Bila berkemampuan.
UNTUK MAKLUMAT
1) Seorang saudagar dari Bombay telah menerima surat ini dan beliau telah mencetak sebanyak 20 salinan dan mengirimkan kepada orang lain. Dia kemudiannya dianugerahi oleh Allah dengan mendapat keuntungan yang besar dalam perniagaannya. Seorang hamba Allah telah menerima surat ini tetapi tidak mengindahkannya dan menganggap wasiat ini palsu. Maka selang beberapa hari kemudian anaknya meninggal dunia.
2) Tan Sri Ghazali Jawi, Bekas Menteri Besar Perak secara tidak langsung dipecat dari jawatannya kerana apabila menerima wasiat ini beliau terlupa mencetak sebanyak 20 salinan untuk disebarkan kepada orang lain tetapi beliau tidak menyedari kesilapannya lalu beliau mencetak semula wasiat ini dan terus mengirimkannya kepada orang lain dan selang beberapa hari kemudian beliau telah dilantik menjadi Menteri Kabinet Perdana Menteri.
3. Pada tahun 1977 Tun Dato' Mustafa bekas Ketua Menteri Sabah menerima surat ini kemudian mengarahkan setiausahanya mencetak sebanyak 20 salinan dan menghantar kepada orang lain maka selang beberapa hari kemudian dia telah mendapat hadiah pertama dari loteri Kebajikan Masyarakat Timur.
4. Zulfikar Ali Bhuto telah menerima wasiat ini dan tidak percaya akan kebenarannya dan menganggap palsu lalu dibuangkan kedalam tong sampah. Seminggu kemudian beliau telah dijatuhkan hukuman pancung sampai mati.
5. Di Terengganu, seorang pekerja bengkel kenderaan telah menerima wasiat ini dari pengirim yang tidak dikenali yang datangnya dari Perak. Lalu beliau membuat cetakan sebanyak 20 salinan seperti yang dituntut. Alhamdulillah dia dianugerahkan oleh Allah seorang gadis yang berakhlak mulia sepertimana yang dituntut oleh Islam. Baginya anugerah Allah ini paling agung dan tidak ada bandingnya.
6. Di Terengganu juga, seorang hamba Allah telah menerima wasiat ini dari orang yang tidak dikenali lalu beliau tidak mengindahkannya. Beliau mengatakan yang ianya bohong belaka dan sengaja diada-adakan untuk menakut-nakutkan orang yang membacanya. Beberapa hari kemudian dia telah mendapat penyakit yang ganjil dan penderitaannya amat menyedihkan. Setelah 3 minggu mendapat rawatan rapi di hospital, penyakitnya masih disimpannya lalu menyuruh sepupunya mencetak 20 salinan dan diedarkan kepada orang lain. Seminggu kemudian barulah beliau sembuh sehingga sekarang.
Banyak lagi contoh-contoh orang menerima wasiat ini dan tidak mempercayainya dan tidak mengedarkannya atau menyampaikannya kepada orang lain di mana mereka mendapat malapetaka. Setelah kejadian yang menggembirakan dan menakutkan ini, anda jangan lupa mencetak 20 salinan wasiat ini dan disebarkan kepada orang lain dalam masa 90 jam dari masa anda menerima wasiat ini anda akan memperolehi sesuatu dari ALLAH YANG MAHA ESA.
INI ADALAH JAWAPAN KEPADA SURAT BERANTAI INI
Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan 1978
Majlis Fatwa Kebangsaan 1978 mengesahkan surat ini ditulis oleh paderi-paderi biara Blessings of St Antonio, Texas, USA pada tahun 1974/75 untuk mengelirukan umat Islam. Penulis asal surat ini ialah mendiang Father Francis Jose de Villa, seorang paderi Katolik dari Argentina berketurunan Arab-Syria (bekas penganut Islam, nama asalnya Mohamed Elias Skanbeg).
Dia pernah bertugas di Instituto Sacristo Convocione Reliogioso di Brindisi, Itali sebagai mubaligh Katolik antara tahun 1966-1968 di bawah Cardinal Agostino Casaroli. Father de Villa meninggal dunia pada tahun 1980 di Texas dalam usia 54 tahun.
Menurut Allahyarham Sayyed Mohamed Raisuddin Al-Hashimi Al-Quraisy, penjaga makam Rasulullah SAW di Madinah antara tahun 1967-hingga 1979, tidak ada penjaga makam bernama Sheik Ahmad antara tahun 1881 hingga 1979.
Penjaga makam di Madinah ialah: Sayyed Turki Abu Mohamed Abdul Razaque Al-Hashimi Al-Quraisy (1881-meninggal dunia 1932), anaknya Sayyed Hashim Abu Faisal Abdul Jalil Al-Hashimi Al-Quraisy (1932-meninggal dunia 1934), adiknya Sayyed Abdul Karim Mutawwi Al-Hashimi Al-Quraisy (1934-bersara 1966) dan anak saudaranya Sayyed Mohamed Raisuddin bin Mohamed bin Abdul Razaque Al-Hashimi Al-Quraisyi (1967-meninggal dunia 1979).
Bekas menteri besar Perak Allahyarham Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi bertaubat dan mengucap kalimah syahadat sekali lagi di hadapan Kadi Daerah Kinta pada tahun 1976 setelah beliau mengaku pernah menerima dan mengirim surat ini kepada dua puluh orang kawannya.
Peristiwa ini berlaku tidak lama sebelum beliau meninggal dunia. Bekas Kadi Daerah Kinta meminta beliau mengucap semula kerana bimbang beliau telah gugur syahadah (murtad).
Allahyarham Datuk Shafawi Mufti Selangor mengisytiharkan bagi pihak Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa barang siapa dengan sengaja menyebarkan risalah ini adalah "melakukan syirik dan tidak mustahil jatuh murtad melainkan dia bertaubat dan menarik balik perbuatannya itu terhadap sesiapa yang telahpun dikirimkan risalah ini". (Surat Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia Bil. 7/78/I).
Keputusan ini diiktiraf oleh Majlis Raja-raja Melayu dalam mesyuaratnya di Pekan pada 16 Oktober 1978, dipengerusikan oleh Almarhum Sultan Idris Shah, Perak. Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan 1978, menyebar surat ini "termasuk dalam menyekutukan Allah S.W.T. dengan syirik yang amat besar (shirk-i-kubra) serta mempermainkan Rasulullah S.A.W. serta menyebar dengan niat tidak baik kekeliruan dan muslihat di kalangan umat Islam.".
Lagipun,"surat ini menggambarkan pembohongan yang amat besar terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta ajaran baginda kerana menggambarkan Sheik Ahmad sebagai perawi hadith sesudah kewafatan baginda".
Allahyarham Datuk Sheik-ul-Islam Mufti Kedah dalam Risalat Al-Aman 1983/Bil 8, surat ini "paling kurang menimbulkan syirik kecil dan murtad secara tidak sengaja terkeluar dari Islam, serta syirik yang besar jika sengaja maka taubatnya tidak sah melainkan dibuat dengan sesungguhnya. Adapun jika seseorang itu menyalin surat ini kepada umat Islam lain, jatuhlah hukum ke atasnya mentablighkan perkara syirik dan khurafat. Sesungguhnya ulama sependapat perbuatan itu sungguh besar syiriknya dan boleh mengakibatkan murtad walaupun tanpa sedar si-pengirim".
JAWAPAN PALING BAIK DARI ULAMAK
Setelah diamati, ada beberapa perkara yang boleh dikupas dari surat itu. Pertama dari segi isi. Kebatilannya terbukti apabila surat ini mendakwa Sheikh Ahmad bertemu Rasululllah (s.a.w) dalam mimpi dan memberi pesanan kepadanya. Seolah-olah belum selesai tablighnya.
Kita ketahui bahawa dalam khutbah terakhir ketika haji wida', Rasulullah s.a.w telah bersabda "Telah sempurna bagimu agamamu" yang membawa maksud bahawa tiada lagi wahyu atau ugama yang akan turun selepas itu. Mahu ikut yang mana? Surat ini kah atau Al Quran?
Kedua dari segi arahannya. Sekiranya kita percaya bahawa dengan mengedar 20 keping surat ini akan membawa rezeki atau kebaikan dan sebaliknya sekiranya tidak maka kita kan ditimpa bencana maka secara tidak langsung, kita percaya bahawa ada lagi kuasa selain Allah SWT. Ini akan menjadikan kita syirik. Na'uzubillah. Sheikh Ahmad yang dikira kuat iman ini pula sanggup mati dalam kufur. Seseorang yang berilmu, warak, alim dalam soal agama tidak akan mempertaruhkan imannya untuk apa sekalipun. Saya berpendapat surat ini adalah satu dakyah untuk memesongkan aqidah umat Islam.
Mari kita kaji pula niat disebalik surat berantai ini. Ia mengandungi isi yang menceritakan tentang Sheikh Ahmad yang kononnya bertemu Rasulullah s.a.w dalam mimpinya. Rasulullah kononnya memberi satu statistik yang tujuannya menakutkan pembaca yang memang tiada cara untuk membuktikan kesahihannya. 60,000 orang akan mati tanpa iman, apa maksudnya? Adakah orang yang ke 60,001 akan beriman? Setelah itu diselitkan nasihat supaya pembaca yakin bahawa surat ini berniat baik. Kemudian datang ugutan. Sekiranya tidak diedar 20 salinan, mendapat bala. Untuk meyakinkan pembaca, penulis rela kufur sekiranya isi surat ini adalah palsu. Untuk menambahkan lagi keyakinan pembaca, diturunkan pula beberapa contoh yang menjurus kepada perkara diatas.
Tentunya susah untuk menentukan kesahihan cerita tersebut. Cuma setahu saya, Allahyarham Tan Sri Ghazali Jawi tidak dibuang kerja tetapi meletak jawatan kerana mahu aktif dalam politik. Kalau ada yang rapat dengan keluarga Allahyarham atau keluarga Datuk Tajul Rosli, mungkin boleh sahkan hal ini. Tentunya muslim yang rapuh imannya akan terpengaruh dengan dakyah sebegini.
Jika tak dihiraukan maka semacam ada keresahan dalam hati seolah-olah menanti bencana yang dijanjikan. Maka dengan keresahan inilah syaitan dapat menakluk hati kita. Dicekiknya tubuh kita sehingga sakit, maka kita teringat akan surat wasiat tersebut, dan kita edarkan. Syaitan akan melepaskan cekikannya ketika itu kerana dia telah berjaya memesongkan aqidah kita.
Maka kita berjalan pula di muka bumi Allah ini dan menceritakan pengalaman kita tadi, dan ada pula hamba Allah memasukkannya kedalam Internet. Kesimpulannya, janganlah percayakan surat tersebut dan selagi ada umat yang percayakannya maka ianya tetap akan beredar hingga bila-bila, kerana seingat saya, surat ini telah beredar sejak saya disekolah rendah lagi dan mungkin bermula berpuluh-puluh tahun sebelum itu. Dari penerangan diatas jelaslah mempercayai surat wasiat tersebut adalah haram.
Selasa, 28 Julai 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Counter
Mengenai Saya
- Ahmad Muammar
- Ahmad Muammar Bin Yusof. Kuala Nerang, Kedah. Dilahirkan di Alor Star(Kedah) tepat jam 9.30 pagi pada 10.9.1996. Seorang pemuzik tetapi tak lupa kepada Agama dan Tuhan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan